Sunday 1 July 2012

APA ITU HEPATITIS?


Definisi

Hepatitis merupakan penyakit radang hati.  Istilah 'hepatitis' berasal dari perkataan 'hepar' (hati/liver) dan 'itis' (radang).  Hepatitis terjadi akibat daripada pelbagai faktor.  Hepatitis boleh disebabkan oleh virus, dadah, alkohol, bahan kimia atau jangkitan virus.  Terdapat beberapa jenis virus yang boleh menjangkiti hati dan menyebabkan hepatitis.

Keterukan Hepatitis bergantung kepada agen yang menyebabkan Hepatitis dan jangka masa pendedahan kepada agen penyebab kerosakan hati.

Hepatitis B Mudah Jangkit

GEJALA penyakit yang disebabkan jangkitan virus Hepatitis B mengambil masa berbelas atau berpuluh tahun untuk muncul selepas seseorang itu dijangkiti.

Biasanya gejala jangkitan hanya muncul apabila seseorang itu berumur 40 tahun ke atas dan dalam tempoh lama ini virus Hepatitis B berganda dengan cepat untuk melumpuhkan fungsi hati.

Hepatitis B antara penyakit kronik utama di negara kita dan di rantau Asia Pasifik khususnya yang boleh menyebabkan kematian. Hepatitis B adalah punca paling lazim kes jangkitan hati di dunia. Satu pertiga penduduk dunia (kira-kira dua bilion) dipercayai menjadi pembawa virus.

Virus Hepatitis B penyebab utama masalah sirosis hati dan 80 peratus kes kanser hati dilaporkan berpunca daripada virus berbahaya itu. Dianggarkan sejuta pesakit mati akibat kanser atau kegagalan hati setiap tahun atau satu hingga dua kematian setiap minit.

Di Malaysia, lebih 1.65 juta orang menjadi pembawa virus Hepatitis B dan 5.5 peratus daripada mereka adalah penghidap Hepatitis B kronik. Jumlah pesakit lelaki menghidap kanser hati primer didapati lebih tinggi iaitu 3.5 bagi setiap 100,000 orang berbanding hanya 2.1 bagi wanita. Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, kebanyakan kes Hepatitis B berlaku di kalangan orang Cina (60 hingga 70 peratus), Melayu (30 peratus) dan India 10 peratus.

Virus ini boleh menjangkiti orang lain melalui pemindahan darah, hubungan seks, perkongsian jarum suntikan yang tercemar di kalangan penagih dadah dan kelahiran (daripada ibu kepada anak dalam kandungan ketika bayi dilahirkan).

Risiko jangkitan kronik juga dipengaruhi faktor usia ketika dijangkiti. Lebih 90 peratus kes bayi yang dilahirkan ibu dijangkiti akan menjadi pembawa virus jangka panjang. Orang dewasa yang ada tahap imunisasi baik juga berdepan lima peratus risiko mendapat jangkitan kronik.

Hampir semua bayi dan orang dewasa yang dijangkiti tidak mengalami gejala pada awalnya (jangkitan akut). Gejala hanya muncul apabila penyakit menjadi serius dan kronik. Jangkitan virus ini hanya boleh dikesan melalui ujian darah. Tanpa jangkitan, pembawa berasakan mereka sentiasa sihat dan tidak sedar kehadiran virus ini dalam badan.

Gejala pertama boleh muncul selepas 45 hingga 180 hari dijangkiti, tetapi secara puratanya ia boleh dilihat pada 60 hingga 90 hari. Jika virus ini kekal dalam aliran darah selepas enam bulan, ia boleh menyebabkan jangkitan kronik kepada pesakit.

Bagaimanapun, bukan semua orang mendapat jangkitan mengalami gejala ini. Pembawa virus tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa. Di kalangan pesakit, antara 20 hingga 25 peratus akan mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, menjadi keras dan berparut). Daripada jumlah ini, lima hingga 10 peratus pesakit boleh mendapat kanser hati.

Virus Hepatitis B dikatakan 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding virus HIV. Daripada jumlah ini, 350 juta yang dikategorikan sebagai pembawa virus kronik adalah penduduk Asia dan Afrika. Walaupun sangat mudah berjangkit, hampir 90 peratus kes jangkitan Hepatitis B boleh disingkirkan dengan cara semula jadi apabila badan menghasilkan antibodi bagi melawan virus itu. Hanya 10 peratus individu yang dijangkiti menjadi pembawa virus.

Jangkitan HVB boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati, terutama ujian paras enzim hati (ALT). Biasanya bagi individu dijangkiti, paras A tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal.

Ia juga boleh dikesan melalui ujian serologi, imbasan bunyi, DNA bagi HVB dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).

Berdasarkan kenyataan Konsensus Asia Pasifik mengenai pengurusan Hepatitis B kronik pada 2005, cara utama untuk mengurang atau mencegah kecederaan serta perkembangan penyakit hati ialah melalui penyekatan virus yang boleh dilakukan dengan pengambilan vaksin. Pada masa sama, ia menyekat terus proses replikasi (kaedah pembiakan) virus Hepatitis B.

Vaksin untuk Hepatitis B hanya perlu diambil sekali seumur hidup, sama ada dalam bentuk suntikan atau oral (makan) terutama bagi individu yang lahir sebelum 1989. Ini kerana vaksin Hepatitis B mula diwajibkan sejak 1989 dan ini bermakna anak kita ada perlindungan terhadap virus itu.

Pesakit yang disahkan menghidap Hepatitis B perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tidak berlaku keradangan baru pada hati mereka.

Pun begitu, banyak cara boleh dilakukan bagi mengelak jangkitan iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat, tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah, terutama menggunakan jarum suntikan, dan paling penting setia kepada pasangan.

Selain itu, pembawa virus Hepatitis B diingatkan tidak menderma darah atau organ, berkongsi berus gigi dan pisau cukur dengan sesiapa. Walaupun mereka boleh menjalankan aktiviti harian tanpa masalah, kumpulan ini perlu diawasi supaya tidak menyebarkan virus kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment